Petronas Hentikan Klip Video "Do The Dappan"
KUALA LUMPUR – Petronas mengambil keputusan menghentikan penyiaran
klip video ‘Do the Dappan’ daripada laman web rasminya di YouTube.
Dalam kenyataan pada Khamis, syarikat itu berkata keputusan tersebut
diambil setelah ia menimbang pelbagai maklum balas daripada penonton
berkaitan klip video tersebut, yang hasilkan sebagai sebahagian daripada
kempen sambutan Deepavali 2012 bertemakan “Be the Light”.
“Dalam semua kempen mengenai sambutan perayaan kami, Petronas
sentiasa berhasrat membantu mempromosi dan menyemai nilai bersama yang
terdapat dalam pelbagai warisan, tradisi dan budaya yang menyatupadukan
seluruh rakyat Malaysia dalam masyarakat pelbagai etnik kita,” kata
Petronas dalam kenyataannya.
Bagaimanapun, kata kenyataan itu, pemacu utama kempen berkenaan,
pameran ‘Be The Light – A Celebration of Culture and Tradition’ di
Galeri Petronas, dan siri televisyen serta ucapan dalam bentuk cetakan,
akan diteruskan seperti yang dirancang.
Iklan sambutan Deepavali Petronas bagi tahun ini menerima banyak
sungutan, termasuk daripada pihak yang menyatakan bahawa tarian yang
terkandung dalam klip video berkenaan tidak mencerminkan semangat ‘pesta
cahaya’.
Klip video sepanjang tiga minit itu menampilkan ‘dappankuthu –
sejenis tarian jalanan penuh bertenaga yang sering diselitkan dalam
filem Tamil. – BERNAMA
0 ulasan: