Ana Dahlia : Chef Wan Tahu Saya Tidak Salah!
KUALA LUMPUR - Biarpun sudah banyak kali menjelaskan bahawa punca perceraiannya dengan Chef Riz bukan disebabkan oleh dirinya dan jauh sekali mempunyai kaitan dengan tuduhan yang mengatakan dia curang dengan anak lelaki kepada Dato` Chef Wan, namun pelakon Ana Dahlia masih tetap dengan keputusannya untuk tidak mahu memberikan sebarang kenyataan berhubung perceraiannya dengan chef selebriti itu.
Malah, dia juga maklum bahawa sikapnya yang hanya mendiamkan diri daripada berkata apa-apa itu yang telah membuatkan segelintir pihak terus-menerus membuat tuduhan serta andaian yang bukan-bukan terhadap dirinya.
"Saya tahu sampai saat ini pun orang masih lagi mengata macam-macam tentang saya dan menganggap punca perceraian ini adalah disebabkan oleh saya. Biarlah apa yang mereka hendak kata. Yang penting saya tahu, keluarga tahu dan keluarga Riz khususnya Chef Wan tahu bahawa masalah yang membawa kepada perceraian ini bukan berpunca daripada saya.
"Saya juga tidak mahu berkata lebih-lebih kerana macam yang sudah banyak kali saya katakan sebelum ini, ianya ada kaitannya dengan aib orang. Sebenarnya masalah ini mula timbul sejak kami berkawan lagi.
"Tapi, saya adalah jenis orang yang suka beri peluang pada orang lain untuk berubah. Sebab saya percaya, kalau kita buat macam itu pada orang, orang pun akan buat juga macam itu pada kita.
"Tapi, ianya tetap berterusan dan setelah berusaha saya kira Allah SWT juga mengatakan bahawa sampai di sini sajalah pengakhirnya, maka sampai di sini sajalah," katanya kepada murai.com.my.
Ditanya apakah perasaannya bila bapa mertuanya, Dato` Chef Wan sanggup tampil membuat kenyataan bagi menjelaskan keadaan sebenar kerana tidak mahu pelakon itu dipersalahkan berikutan wujudnya tuduhan mengatakan Ana berlaku curang, Ana Dahli berkata, tindakan Che Wan itu bersebab.
"Sebabnya ialah dia tahu bahawa saya tidak salah di dalam hal ini. Dia juga tahu masalah yang berlaku," katanya.
Tentang tuduhan yang mengatakan bahawa dia bukan menantu kesayangan Chef Wan, Ana Dahlia berkata, dia memang pernah terdengar orang berkata tentang hal tersebut.
"Tapi, kalau dia tidak suka saya, tidak mungkin dia akan membuat kenyataan yang sebegitu di akhbar (memihak kepada Ana Dahlia).
"Apapun, sebagai orang luar yang pernah menjadi sebahagian daripada ahli keluarga Chef Wan, mereka adalah sebuah keluarga yang cukup menyenangkan, mesra dan sangat peramah. Pun begitu, saya tidak pasti sama ada saya dan Riz akan ditakdirkan bersama atau sebaliknya," katanya.
Ana Dahlia juga mengakui bersyukur kerana memiliki ahli keluarga yang benar-benar memahami dengan apa yang dilaluinya ketika ini.
"Mereka sentiasa bersama sama terutama adik saya. Dia adalah sumber kekuatan saya dan dia juga sentiasa meminta ibu saya supaya sentiasa kuat," katanya.
0 ulasan: