Latest News

Khamis, 15 November 2012

Tengku Razaleigh: Masyarakat Orang Asli tetap setia dengan BN

Tengku Razaleigh Hamzah

GUA MUSANG - Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah memuji sikap masyarakat Orang Asli yang terus setia menyokong Barisan Nasional (BN) pada setiap kali pilihan raya umum (PRU).

Katanya, ini menunjukkan mereka bersatu dalam membuat keputusan yang berkaitan masa depan mereka dan yakin dengan kemampuan kerajaan BN melaksanakan segala kemudahan sebagaimana dinikmati mereka.

"Kita berharap Orang Asli akan terus menyokong BN terutama bagi persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi," katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Bantuan kepada penduduk Orang Asli di Pos Brooke, di sini hari ini.

Hadir sama Anggota Dewan Undangan Negeri Galas, Ab Aziz Yusof, Pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) Daerah Gua Musang, Muhammad Shukri Abdul Aziz dan Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah, Azman Ngadiron.

Tengku Razaleigh juga Ketua Umno bahagian turut mengingatkan masyarakat Orang Asli supaya tidak mudah terpengaruh dengan kunjungan orang luar yang datang menabur janji kerana kunjungan mereka boleh membawa perpecahan.

Beliau berkata mereka harus berpegang kepada kekuatan perpaduan yang sedia ada kerana kerajaan tidak pernah lupa jasa mereka yang menyokong perjuangan BN sehingga berupaya menang setiap kali PRU.

"Orang luar yang datang mungkin ada membawa maksud lain, tetapi saya percaya Orang Asli mempunyai pendirian dengan menilai sebaik-baiknya sebelum menerima janji mereka," katanya.

Beliau mengulangi komitmen kerajaan untuk terus melaksanakan pelbagai kemudahan di kawasan penempatan Orang Asli selain menyalurkan lebih banyak peruntukan bagi meringankan beban mereka.

"Tengoklah pemberian wang bantuan hari ini sebagai menunaikan janji saya dan penghargaan kepada Orang Asli yang terus bersama saya pada setiap kali pilihan raya," katanya. Sumber - Bernama, 15 Nov 2012

Jangan Jadikan Agama Senjata Politik, Dr Asri



SHAH ALAM – Sempena sambutan Maal Hijrah, ahli-ahli politik dinasihatkan tidak menjadikan agama sebagai senjata politik sebaliknya boleh menggunakan agama sebagai hujah dalam panduan politik.

Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pemimpin politik wajar mencuba untuk menjadikan gerakan politik selaras dengan nas-nas agama dan tidak menjadikan agama yang dinilai berdasarkan politik kepartian.

“Agama mesti merentasi parti berdasarkan fakta dan hujah.

“Ahli politik mesti kembali kepada dasar, jika tidak, agama akan hanya dibicarakan di pentas untuk agenda politik,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Ketika diminta mengulas mengenai keadaan sekarang di mana terdapat pemimpin politik menjadikan isu agama ketika berpolitik, Dr Asri menjawab, “adalah penting untuk menjadikan agama sebagai asas perjuangan tetapi jangan sesekali menggunakan agama untuk meraih undi."

Beliau menambah, ahli politik tidak boleh menjadikan agama secara selektif.

“Yang mana beri menguntungkan, kita ambil… yang mana merugikan, kita tinggalkan,” jelas beliau lagi.

Sumber - Sinar Harian, 15 Nov 2012

Nik Abduh Sedia Tanding di Pagoh Jika Parti Arah

KOTA BHARU - "Saya macam Presiden (Pas). Apa yang diputuskan oleh parti, itulah yang saya yang... (saya tanding). Tak tanding pun tak apa," demikian reaksi Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berhubung saranan supaya beliau mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin di kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau mengulas cadangan perwakilan dari Kelantan, Ahmad Marzuk Syaari ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda Pas pagi tadi.

Ketika ditanya sama ada beliau bersedia sekiranya diarahkan pucuk pimpinan parti berbuat demikian, Nik Abduh berkata, "bersedia di mana-mana."

"Itu keputusan kita bersama bahawa apabila kita diamanahkan, itu yang disuruh oleh parti... kita akan (ikut)," katanya.

Marzuk dalam perbahasannya berkata, Pemuda Pas perlu menyahut cabaran untuk bertanding di luar zon selesa sebagai bukti kesungguhan sayap parti itu.

"Sekarang ini bukan sekadar Kelantan, tetapi agenda untuk menuju ke Putrajaya, mana mungkin kita tidak mampu bertanding di mana-mana kerusi dicalonkan kalau sekiranya kita mengatakan kita hendak ke Putrajaya.

"Memandangkan sekarang ini, yang sebaiknya kita letak Timbalan Ketua Pemuda kita, kita calonkan bertanding di Pagoh, di Johor," katanya.

Jawapan Nik Abduh dilihat senada dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini bahawa beliau sedia menjadi calon di mana-mana kerusi Parlimen termasuk menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kerusi Parlimen Pekan.

Abdul Hadi merupakan Ahli Parlimen Marang.

Beliau sebelum itu mengejutkan negara apabila menyatakan beliau sedia bertanding di Parlimen Pekan jika diputuskan demikian oleh parti. 

Sumber - Sinar Harian, 15 Nov 2012

Sultan Pahang Dukacita Kenyataan Izzah

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah

KUANTAN - Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah meluahkan rasa kecewa dan dukacitanya terhadap kenyataan seorang pemimpin pembangkang mengenai isu kebebasan beragama rakyat termasuk orang Melayu baru-baru ini.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai mengarut dan tidak masuk akal, baginda juga kesal dengan pihak terbabit yang terlalu lantang bercakap mengenai agama tanpa memperhalusi kesannya kepada masyarakat terutama umat Islam.

"Sebagai ketua agama Islam dan pemerintah negeri Pahang saya berasa sedih, dukacita (dengan kenyataan itu). Kita tidak boleh terlampau lantang sangat sebut pasal agama ini.

"Saya nasihatkan agar rakyat tidak mendengar cakap-cakap sebegitu dan perlu memikirkan perkara itu dengan sehalus-halusnya," titah baginda kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri, di sini hari ini.

Baginda bertitah sebagai seorang Islam, kenyataan berkaitan agama Islam tidak boleh dibuat sesuka hati tanpa merujuk kepada pihak yang lebih arif.

"Tidak semestinya orang yang mahir tentang Islam boleh bercakap mengenai Islam, saya juga mahir dan boleh juga bercakap mengenai Islam tapi kita ada majlis agama Islam, ulama kita semua bijak bistari, sebab itu saya tak berani bercakap," titah baginda.

"Saya sayang agama saya. Kita kena sanjung agama kita setinggi-tingginya dan jaga dengan sepenuh hati. Dalam Perlembagaan turut menyebut bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara ini," titahnya.

Pada 3 Nov lepas, portal berita Malaysiakini melaporkan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar sebagai berkata rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.

"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," kata Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk 'Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?', di Subang Jaya pada 3 Nov.

Dalam pada itu Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman menasihatkan umat Islam agar berhati-hati dengan pihak dan kenyataan sedemikian yang boleh membawa kepada penyelewengan dan merosakkkan akidah umat Islam.

"Jangan ikut kehendak pemikiran yang boleh merosakkan akidah...ini salah satu usaha yang dilakukan oleh musuh Islam yang suka hendak menyeleweng akidah umat Islam dengan cara meragukan orang Islam dengan pemikiran yang menyimpang (dari ajaran Islam sebenar)," katanya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kenyataan Nurul Izzah merupakan titik hitam dalam sejarah negara kerana boleh mencetuskan kecelaruan dan memesongkan akidah umat Islam.

Beliau berkata kenyataan tersebut turut menjerat PAS sebagai rakan sekutu pakatan pembangkang yang terpaksa bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden PKR itu meskipun sedar hujahnya terpesong daripada ajaran Islam.

"Saya percaya bahawa secara peribadi ramai pemimpin dan ahli PAS memang tidak bersetuju dengan pandangan Nurul Izzah. Tetapi mereka terjerat, oleh kerana politik mereka sanggup menggadaikan pendapat sebenar yang sepatutnya disuarakan dan mereka tidak ada keberanian untuk suarakan pendapat sendiri," katanya kepada pemberita selepas melawat kelahiran bayi Maal Hijrah, di sini hari ini.

Beliau berkata Wanita Umno juga mendesak pasangan pemimpin parti PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail agar menyatakan pendirian berhubung kenyataan anak sulung mereka itu.

Selain itu, Wanita Umno juga menyokong penuh titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris agar agama Islam tidak boleh dicapur aduk dengan politik kerana boleh mengeliru dan memecah belah masyarakat Melayu. Sumber - Bernama, 15 Nov 2012

Baju Perkahwinan Apex dan Leuneiy bernilai RM 45,000

Pasangan merpati dua sejolis yang bakal melangsungkan perkahwinan pada Disember ini khabarnya sedang sibuk membuat persiapan untuk hari bahagian mereka.

Penjaga gol kebangsaan negara, Khairul Fahmi Che Mat atau Apex dan pasangannya Leuneiy dikatakan sudah pun menempah busana mereka kepada pereka, Ezuwan Ismail.

Menerusi Malaysiandigest.com yang sempat menemubual Ezuan pada majlis post party Anugerah Skrin 2012, Jumaat lalu, Ezuan ada memberi kenyataan secara ringkas.

Menurutnya, pada majlis akad nikah nanti Apex dan Leuniey akan mengenakan persalinan warna sedondon baju melayu dan baju kurung.

Pada waktu persandingan di sebelah pihak perempuan, mereka akan memakai sepersalinan songket tradisional dengan warna ‘skin colour’.

Manakala pada persandingan di Kuala Lumpur pula, mereka akan mengenakan konsep busana ‘English Modern’.


Ezuwan menambah, kos baju untuk akad nikah dianggarkan lebih kurang RM10,000.

“Untuk baju persandingan pula berharga RM20,000 dan baju persandingan untuk majlis di Kuala Lumpur berharga RM15,000,” katanya.

Dalam pada itu, oleh kerana sibuk dengan persediaan bagi menghadapi perlawanan Kejuaraan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2012, Apex terpaksa menyerahkan soal persiapan perkahwinannya yang kepada pengurusnya.

Mereka dikhabarkan akan mengadakan sidang media untuk membuat pengumuman mengenai tarikh nikah dan resepsi kelak.

Sementara itu, Apex dan Leuniey mula menjalin hubungan selepas mereka berkenalan ketika terlibat dalam iklan minyak wangi ‘SimplySiti Eau De Parfum’ milik penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, awal tahun ini

Ultrabook Canggih



Ultrabook dengan kemampuan prosesor yang kelajuan pantas serta waktu booting yang singkat sudah biasa, begitu juga dengan ultrabook yang memiliki ukuran tipis dan ringan. 

Namun, sebuah ultrabook dengan sambungan kelajuan WiFi pantas, cukup jarang ada di pasaran. Perkara inilah yang ingin dimanfaatkan oleh Dell dengan produk ultrabook terbarunya Latitude 6430u. 

Produk ini dikhususkan untuk golongan pengusaha yang dilengkapi dengan fungsi WiGig. WiGig inilah yang bakal memberikan sambungan WiFi dengan kecepatan hingga 7 gigabite per saat. 

Jika dibandingkan dengan WiFi 802.11n yang kerap dijumpai pada gajet lain, kecepatan WiGig ini 10 kali lebih tinggi. Sayangnya, WiGig hanya mampu bekerja dalam jarak yang lebih dekat.

Ultrabook ini hadir dengan pemprosesan Intel Ivy Bridge serta rekaan luaran yang tahan jatuh dan air. Di bahagian skrin, ultrabook ini hadir dengan skrin berukuran 14 inci. Latitude 6430u ini memiliki ukuran tipis hanya 20.32 milimeter dan berat 1.67 kilogram.

− Paparan: Pemproses Intel Ivy Bridge
- Tahan jatuh dan kalis air − Saiz: Senipis 20.32 milimeter
- Berat 1.67 kilogram
- Sambungan wifi dengan teknologi WiGig

Jutawan Muda Summly

Pernahkah dengar mengenai aplikasi Summly? Bagi pengguna iPhone dan Ipad pasti mengetahui mengenai aplikasi berita yang didatangkan secara ringkas seperti laman sosial mikro, Tweeter.

Namun tahukah anda pencipta aplikasi ini adalah seorang remaja berusia 17 tahun sudah menjadi jutawan dengan hanya menghasilkan aplikasi ini. 

Nick D’Aloisio (kanan), secara keseluruhannya memperoleh RM3 juta (AS$1 juta) setelah aplikasi miliknya menjadi sepuluh aplikasi terbaik di App Store. Idea awal aplikasi ini pun sangat unik. Pada usia 15 tahun, D’Aloisio menemukan adanya sebuah rahsia dalam hasil pencarian Google ataupun Bing.

Alih-alih daripada membaca keseluruhan artikel, dia pun berfikir akan lebih baik jika mengubahnya menjadi sebuah tweet 140 karakter.

Dari situlah lahir aplikasi Trimit yang kemudian menarik perhatian jutawan Hong Kong, Li Ka Shing yang akhirnya memberikan dana RM900 ribu kepada bagi D’Aloisio untuk mengembangkan aplikasi tersebut, dan akhirnya lahirlah Summly.

Fungsi aplikasi ini sangat bermanfaat bagi para pengguna telefon pintar. Dengan memakai aplikasi Summly, pengguna telefon pintar boleh mencari berbagai jenis artikel berita sesuai dengan kategori yang diinginkan. 

D’Aloisio mengatakan bahawa skrin kecil sebuah iPhone membuat orang tak terlalu suka membaca artikel di telefon. 
Oleh kerana itu, dengan aplikasi Summly, pengguna iPhone boleh membaca berita dari politik, isu semasa, gaya hidup dan sukan dengan ringkas tetapi padat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...